Arahan Guru PJ

Anda DIBENARKAN untuk copy, cut, mengambil, kongsi, memberi pendapat atau apa sahaja dengan apa cara sekalipun mengenai kandungan dalam blog ini. TIADA larangan daripada Tuan Padang. Ilmu itu harus disebarkan. Jangan lupa berikan KOMEN dan Happy Blogging :-)

Friday, October 8, 2010

Kaedah Pengajaran Pendidikan Jasmani Mosston & Ashworth

Pengenalan.

Spektrum pengajaran adalah satu rangka kerja model pendidikan berdasarkan guru dan murid (Mosston & Ashworth, 1994). Spektrum ini dirangka berdasarkan dua keadaan iaitu :

a) Gaya A: Guru Sebagai pembuat keputusan utama

b) Gaya K : Murid Sebagai pembuat keputusan utama.

Di antara tambahan sembilan keadaan gaya pengajaran setiap satunya dijelaskan berdasarkan siapakah yang membuat keputusan.

Mosston & Ashworth (1994) menyatakan bahawa keputusan transaksi guru-murid boleh dikategorikan kepada 3 set

1. Pra-kesan

2. kesan semasa

3. pasca kesan

Kesan awal

Keputusan pada pra-kesan berhubung kait dengan satu episod perancangan. Mc Cullick, B & Byna, M (2002) mengenal pasti situasi ini sebagai “ Maksud pernyataan atau perancangan”. Keputusan major termasuk di dalam set kesan awal ialah seperti tugasan terperinci yang akan diajar, objektif pengajaran, hasil pembelajaran dan alat kelengkapan (ABM, BBM dan BBB)

Kesan Semasa

Keputusan kesan semasa berhubung kait dengan transaksi bersemuka antara guru dan murid di dalam persekitaran belajar. Mosston & Ashworth menggambarkan kesan semasa fasa membuat keputusan sebagai ‘ meletakkan perancangan (keputusan kesan awal) kepada tindakan. Terdapat 3 komponen dalam set keputusan kesan semasa :

a) Jangkaan peranan guru dan murid

b) Demonstrasi tugasan yang akan dilakukan atau pembentangan penyelesaian masalah

c) Penerangan prosedur penggunaan alatan (kehendak tugasan, masa keputusan, postur, kuantiti, jarak waktu, pakaian dan lokasi) yang perlu dipatuhi semasa melakukan tugasan atau menyelesaikan masalah.

Pasca Kesan

Fokus set kesan selepas ialah pentaksiran/ penilaian dan maklum balas berkaitan prestasi murid dan menyediakan pentaksiran /penilaian pengalaman guru-murid. “Setiap gaya pengajaran di dalam spektrum adalah berdasarkan peralihan keputusan yang sistematik (Pra-kesan, Kesan dan pasca kesan) antara guru-murid” (Goldberg dan Gerney, 1986). Spektrum dibahagikan kepada dua kelompok gaya pengajaran

Ø Produktif – kapasiti menghasilkan pengetahuan dan kemahiran baru

Ø Reproduktif – kapasiti menghasilkan semula ilmu dan kemahiran yang diketahui.

Kelompok reproduktif termasuklah arahan, latihan, tindak balas, tindak balas dan pemasukan kaedah baru. Dalam gaya pengajaran reproduktif pelbagai jangkaan guru-murid digambarkan. Isi yang spesifik diperlukan menerusi bilangan pendekatan membuat keputusan, latihan kemahiran spesifik dan maklum balas. Pengajaran behaviors merujuk kepada haya pengajaran A, B, C, D dan E.

Kelompok produktif termasuklah penemuan terbimbing, penemuan tertumpu, penumpuan mencapah, reka bentuk pembelajaran individu, gaya pembelajaran kendiri dan daya usaha dan ia merujuk kepada F, G, H, I, J dan K. Dalam gaya pembelajaran produktif murid diberi gambaran satu masalah atau persoalan dan kemudian diberikan masa untuk meneroka penyelesaian masalah. Semasa penemuan sama ada menjurus atau mencapah, murid meneroka dan merentasi pengetahuan dan menghasilkan ilmu baru. Proses kognitif merentasi memori dan mencetuskan ingatan semula. Selalunya proses penemuan ini menghasilkan motivasi intrinsik.

Spektrum yang menggabung pelbagai kaedah umum yang mana guru dan pelajar masing-masing akan memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam hasil pengajaran dan pembelajaran. Spektrum ini telah membahagikan gaya dan kaedah pengajaran kepada dua aspek iaitu

· Berpusatkan Guru

· Berpusatkan Pelajar

Gaya Arahan (A)

Satu gaya tradisional di mana guru mengawal sepenuhnya pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi tumpuan utama dari mula hingga akhir. Dalam erti kata lain, guru akan membuat keputusan terhadap perjalanan P&P di dalam kelas. Kaedah ini akan memberi peluang guru menggunakan kuasa autonomi untuk memberikan arahan satu persatu, melakukan demonstrasi dan berhak memberikan komen dan ulasan terhadap prestasi murid-murid. Oleh itu, murid perlu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap arahan dan pengajaran daripada guru. Murid akan meniru setiap perlakuan guru.

Kaedah ini sememangnya sesuai untuk satu aktiviti aras yang tinggi dan perlu mengutamakan keselamatan. Keperluan gaya ini juga sesuai ketika masa P&P adalah terhad dan tidak mencukupi masa. Oleh itu masa murid untuk mempelajari sesuatu tajuk menjadi terhad. Ia juga sesuai untuk pembelajaran pada peringkat awal bagi memudahkan murid memahami tajuk. Sebagai contoh ialah pembelajaran pergerakan asas aktiviti roda kereta dan hambur tangan. Aktiviti ini merupakan satu aktiviti aras tinggi yang memerlukan arahan daripada guru secara terus menerus. Dalam tunjang 2 pembelajaran lompat tinggi juga merupakan satu aktiviti aras tinggi yang memerlukan arahan dan perhatian lebih daripada guru.

Gaya Latihan (B)

Gaya pengajaran ini merupakan kesinambungan daripada gaya pengajaran arahan yang mana guru bertanggungjawab terhadap semua keputusan dalam P&P. Dalam pengajaran guru akan memberikan tunjuk ajar kepada murid dan murid berpeluang melakukan latihan secara beransur maju dan berperingkat. Guru akan memberikan penerangan berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan atau pun guru akan melakukan demonstrasi untuk melakukan aktiviti. Guru juga akan memberikan penjelasan dan menentukan tiap-tiap yang ingin di ajar. Guru juga akan sentiasa memerhatikan murid dan akan memberikan maklum balas, tunjuk ajar dan bersoal jawab dengan murid. Murid melakukan latihan yang telah ditetapkan oleh guru.

Seperti gaya Arahan, gaya latihan juga sesuai untuk P&P yang mempunyai masa yang terhad, pembelajaran peringkat awal tetapi gaya latihan memberikan murid masa yang lebih untuk berlatih. Contohnya ialah Pembelajaran kemahiran olahraga. Sekiranya dirujuk pada taburan pembahagian masa pengajaran olahraga memiliki masa pengajaran yang singkat untuk mengajarkan kemahiran asas. Oleh itu, murid harus diberikan masa yang lebih untuk mereka berlatih sendiri agar mempercepatkan proses pembelajaran.

Semak Bergandingan/Timbal Balik (C)

Gaya ini mengkehendaki murid untuk melakukan latihan secara berpasangan namun demikian secara dasarnya kaedah ini masih menetapkan guru menentukan apa yang akan dipelajari dan memberikan penerangan terhadap aktiviti yang akan diajarkan kepada murid. Guru juga akan melakukan demonstrasi lanjutan untuk menguji perlakuan murid. Dalam pengajaran aktiviti secara berpasangan. Seorang murid akan menjadi pemerhati dan seorang lagi akan melakukan sesuatu aktiviti. Penilaian terhadap pelajar adakan berdasarkan kriteria perlakuan yang telah disediakan oleh guru.

Pada permulaan P&P guru akan bertanggungjawab sepenuhnya. Murid akan melakukan aktiviti secara berpasangan. Guru akan menyediakan senarai semak dan lampiran gambar kepada pelajar. Pelajar akan menjadi penilai yang menilai perlakuan pasangan mereka. Sebagai contoh ialah dalam mengajar kemahiran menghantar permainan bola jaring. Guru akan membekal kepada pasangan murid senarai semak butir-butir lakuan menghantar bola. Selain itu murid juga akan dibekalkan dengan gambar lakuan yang betul. Oleh itu, murid yang bertindak sebagai penilai akan menilai dan menandakan senarai semak lakuan yang betul. Kemudian murid ini akan bertukar peranan.

Gaya Semak Kendiri (D)

Gaya ini sesuai bagi perlakuan yang mudah. Apabila perlakuan yang mudah dilakukan oleh murid, maka akan muda bagi murid tersebut untuk mengenal pasti seterusnya menilai sendiri akan kesilapan perlakuan yang dilakukannya. Namun kelemahan kaedah pengajaran semak kendiri ini ialah ia menghadkan perhubungan interaksi sosial guru dan murid.

Sama seperti gaya berpusatkan guru yang lain, gaya semak kendiri ini turut tidak terkecuali. Guru akan menentukan apa yang dipelajari, memberikan penerangan sebelum memulakan pengajaran. Namun murid akan bertanggungjawab dalam menilai perlakuan diri. Misalnya, dalam melakukan kemahiran menyangga bola tampar, murid akan dibekalkan dengan gambar turutan kemahiran menyangga yang betul manakala murid pula akan melakukan aksi tersebut dengan berdasarkan gambar setelah diberikan penjelasan dan penerangan oleh guru.

Gaya Inklusif/ peningkatan (E)

Satu-satunya pengajaran yang berpusatkan guru yang memberikan peluang kepada murid satu keistimewaan untuk memilih tahap pembelajaran mereka mengikut tahap dan kemampuan mereka. Murid akan memilih sendiri tahap dalam prestasi mereka sebelum melakukan aktiviti. Aktiviti yang masih ditentukan oleh guru kriteria pembelajarannya.

Kelebihan aktiviti ini ialah ia memberikan murid peluang untuk merasai kepuasan dan kejayaan dalam Pendidikan Jasmani. Semua muri akan berupaya untuk melakukan aktiviti walaupun berbeza kebolehan diri. Peningkatan kemahiran kendiri murid dan motivasinya. Misalnya, dalam melakukan aksi kemahiran lompat tinggi, murid bebas untuk memilih ketinggian palang lompat tinggi.

Penemuan terbimbing (F)

Kaedah yang juga dikenali sebagai kaedah limitasi juga merupakan satu kaedah yang memberikan banyak peluang untuk meluahkan perasaan, mencuba dan menjadi seseorang yang kreatif tetapi perlakuan yang terhad akibat tugas-tugas daripada guru. Kelebihan gaya pengajaran ini ialah, ia membenarkan penglihatan yang lebih oleh pelajar dalam proses pembelajaran dan mengambil kira perbezaan di kalangan murid serta mempunyai peluang belajar mengikut tahapnya sendiri. Kaedah ini merupakan kaedah yang mana guru akan menetapkan tugasan dengan menyediakan pelbagai soalan yang hanya menjuruskan kepada satu jawapan sahaja. Kemudian, guru akan memberikan peluang/ masa untuk murid berfikir mencari jawapan. Namun sekiranya murid gagal untuk menjawab, guru akan menukar soalan kepada soalan yang lain namun masih menjurus kepada jawapan yang sama. Pada kaedah ini, guru akan merancang proses pengajaran dan pembelajaran. Namun murid tetap terlibat dalam mencapai objektif. Guru bertindak sebagai penyoal (questioning) kepada murid. Manakala murid akan bertindak sebagai penemu atau pembuka (uncovering) terhadap persoalan yang dinyatakan oleh guru. Dalam hal ini guru biasanya akan membantu murid sehingga murid memahami dan jelas terhadap sesuatu tajuk atau perkara. Misalnya guru akan berbincang dengan murid terhadap ciri-ciri keselamatan pada pakaian sukan yang ada pada masa kini dan masa depan. Guru akan membimbing murid sehingga mencapai objektif seperti dapat menghasilkan satu jenis pakaian sukan yang memiliki ciri-ciri keselamatan berdasarkan sukan.

Gaya pengajaran berpusat (G)

Guru akan merancang pembelajaran ini dengan menetapkan beberapa persoalan dan tugasan. Murid pula akan bertindak untuk mencari jawapan yang paling hampir. Guru akan bertindak sebagai pemandu arah. Murid pula bertindak sebagai pencari jalan keluar. Contoh aktiviti ialah murid melakukan perbincangan berkenaan dengan sejarah beberapa jenis sukan di Malaysia. Guru akan membantu murid dengan memberikan klu-klu atau maklumat yang hampir berkaitan.

Gaya Penemuan Bercapah (H)

Dalam gaya ini, guru akan menetapkan satu tugasan yang mempunyai pelbagai jawapan. Tugasan ini mempunyai banyak pilihan jalan penyelesaiannya. Kemudian, guru akan mendorong dan menggalakkan murid untuk menilai setiap jalan penyelesaian tersebut dan membuat perbandingan antara jawapan tersebut. Perbandingan antara jawapan ini adalah satu cara untuk seseorang murid tersebut menilai keberkesanan jawapan yang diberikan.

Kaedah ini sesuai bagi aktiviti yang berbentuk pembangunan satu pasukan. Kelebihan kaedah ini ialah menggalakkan murid berfikir dan memupuk sikap kerjasama antara mereka. Misalnya, guru menetapkan tugasan murid adalah mencari teknik yang sesuai bagi kemahiran olahraga acara padang lompat jauh. Tugasan yang satu, tetapi mempunyai banyak pilihan jawapannya, antaranya ialah kayuh, layar dan melayang. Murid akan mencari mana-mana jawapan dengan melakukan semua gaya tersebut seterusnya menilai keberkesanannya dari segi jarak lompatan.

Gaya program individu – reka bentuk pelajar. (I)

Gaya ini adalah kompleks kerana ia memerlukan tumpuan masa yang panjang memahami tugasan, masalah dan muri juga perlu berfikir secara logik dan sistematik. murid akan menetapkan sendiri tugasan dan menyelesaikannya mengikut kebolehan individu.

Guru akan membantu murid sebagai penasihat. Murid akan merancang program atau aktiviti pembelajaran seterusnya murid sendiri yang akan menyelesaikan masalah. Contohnya merancang satu pergerakan kreatif bagi membentuk persembahan. Pergerakan kreatif tersebut akan dibantu oleh guru dengan memurnikan lagi persembahan kreatif mereka.

Gaya Pembelajaran terdorong (J)

Guru akan memantau proses pembelajaran manakala murid pula akan menjadi perancang program atau aktiviti pembelajaran. Pelajar berusaha sendiri untuk menetapkan tugasan mereka serta memilih gaya pembelajaran kendiri. Gaya ini seolah-olah memberikan murid autonomi untuk mengambil alih tugasan guru dengan mengawal kelas, merancang program dan aktiviti pembelajaran. Sebagai contoh murid akan mengaplikasikan kemahiran olahraga dan perlu mengaplikasikan satu sesi pengajaran PJ.

Pembelajaran Kendiri (K)

Guru akan bertindak sebagai pemerhati sahaja. Murid akan bertindak mengambil alih tugas seorang guru. Murid akan menetapkan sendiri apa yang akan dipelajari dan menetapkan pendekatan sendiri untuk mencapai objektif pembelajaran mereka. Murid diberikan hak untuk membuat keputusan sendiri. Contoh aktiviti yang sesuai ialah melakukan kemahiran servis bola tampar yang pelbagai. Murid akan menetapkan sendiri objektif yang ingin dicapainya dalam melakukan servis yang pelbagai. Misalnya murid ingin melakukan 2 daripada 3 kemahiran servis bola tampar dengan betul.

p/s : untuk gaya A-E ia merupakan strategi berpusatkan guru manakala F-K adalah berpusatkan murid.

Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka

Sunday, August 15, 2010

Maklumat Permainan sukan

BERITA BAIK KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN

Dengan ini aku mengisytiharkan bahawa saya telah menyediakan maklumat yang berkaitan dengan permainan dalam sukan seperti bola sepak, badminton, futsal, bola keranjang, dan mcm2 lagi lah..aku malas nak ceta panjang2..aku da bagi link kat download site tu, dalam folder link tu terdapat banyak pilihan maklumat permainan sukan. aku harap dapat lah membantu mereka yang sedang mencari maklumat seperti ini. sekian tima kaceh..

ebak_bankai
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka

Sunday, February 21, 2010

Cara Mudah Untuk Bersenam

Ramai kawan-kawan di Kampus ni dan kawan-kawan dari luar Kampus tanya selalu bertanya, bagaimana untuk bersenam kalau kehidupan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seharian. Bagi kami jawapannya adalah mudah dan ringkas, bergerak dan bergerak.



Sebenarnya, dengan hanya menggerakkan anggota badan melalui tindakan otot dan sendi akan mewujudkan satu lakuan senaman. Sebagai contoh berjalan ke bilik kuliah, berjalan ke kafe, mengangkat buku-buku dan banyak lagi merupakan aktiviti lakuan yang melibatkan daya tahan kardio dan otot. Di sini banyak terdapat beberapa contoh cara muda untuk bersenam.



  1. Sekiranya kita tinggal di kondominium atau pangsapuri, cuba minimakan penggunaan lif. Sebaliknya lebihkan dengan menggunakan tangga. Sekiranya tidak mampu kita boleh menaiki lif separuh jalan sahaja dan seterusnya menggunakan tangga untuk sampai ke tempat yang ingin dituju.
  2. Letakkan kereta di tempat yang agak jauh dari tempat yang ingin ditujui. Sebagai contoh, jika kita ke kompleks membeli belah atau ke pejabat, kita boleh meletakkan kereta sedikit jauh dari pintu masuk. Ini bergantung kepada keadaan sekiranya tidak sesak dan tidak mendatangkan kesulitan yang ketara kepada kita.
  3. Jangan hanya duduk sepanjang masa di pejabat. Kita boleh berjalan di sekeliling bangunan tempat kerja.
  4. Bagi yang berkeluarga, bawalah mereka untuk bersiar-siar di taman rekreasi. Ketika berada di umah pula, bermainlah sepuas-puasnya dengan anak anda. Ini juga merupakan salah satu cara untuk membakar kalori dan merangsang otot untuk bergerak.
  5. Maksimumkan berjalan kaki sekiranya kita ingin ke satu-satu tempat. Sebagai contoh kita boleh berjalan untuk ke masjid, ke kedai runcit, ke rumah jiran dan sebagainya.




Di sini, Kami juga ingin berkongsi teknik yang berjalan dengan betul. Ini kerana, seringkali di lihat orang ramai berjalan dengan tidak betul walaupun individu tersebut bukanlah daripada golongan OKU. Berjalan adalah satu kemahiran yang mudah dan asas. Semua manusia yang sihat dan normal mempunyai kemahiran asas ini tapi sejauhmanakah kita menguasai kemahiran ini? dan apakah selama ini kita berjalan dengan teknik yang betul? Teknik berjalan yang salah akan mengakibatkan kita membuang tenaga, mendapat kecederaan dan kurang stabil yang paling penting kehilang keayuan dan ke"machoan". Pensyarah kami pernah kata, pergerakan asas itu boleh membentuk satu kitaran pergerakan kreatif dan harus mengekalkan nilai estetika lakuan tersebut. OK tanpa membuang masa ini adalah teknik berjalan yang betul, mari sama2 mengamalkannya:



  1. Pastikan bahagian tumit mencecah tanah sebelum bahagian tapak kaki yang lain. Peringkat permulaan, langkah yang pendek sudah memadai
  2. Hayunkan tangan. Dengan menghayunkan tangan akan memberi lebih banyak impak seperti membantu membakar lebih banyak kalori dan menguatkan otot-otot di bahagian atas badan kita. Ini menunjukkan bahawa senaman berjalan bukan saja memberi faedah yang lebih kepada otot-otot bahagian bawah namun turut melibatkan otot-otot di bahagian atas badan kita.
  3. Luruskan bahagian belakang badan kita. Untuk memastikan kita berada dalam postur yang baik. Luruskan bahagian belakang badan kita dan pandang ke hadapan.
  4. Kawal pernafasan. Semasa berjalan pastikan pernafasan kita sentiasa teratur. Sekiranya kita berasa nafas kita semakin tercungap-cungap, kita perlu mengurangkan kelajuan dan sekiranya tidak mampu kita haruslah berhenti.
  5. Untuk menambahkan lagi variasi sewaktu berjalan kita boleh menetapkan sasaran pada tempoh-tempoh tertentu untuk meningkatkan kelajuan dan menurunkan kelajuan.
  6. Sekiranya mampu, kita boleh menggunakan pedometer, iaitu alat untuk mengukur langkah kaki kita. Alat ini diletakkan di bahagian pinggang kita dan ia akan mengira berapa langkah kaki yang telah kita lakukan pada setiap hari.
  7. Cuba untuk melakukan senaman berjalan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 kali dalam seminggu.
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka