Arahan Guru PJ

Anda DIBENARKAN untuk copy, cut, mengambil, kongsi, memberi pendapat atau apa sahaja dengan apa cara sekalipun mengenai kandungan dalam blog ini. TIADA larangan daripada Tuan Padang. Ilmu itu harus disebarkan. Jangan lupa berikan KOMEN dan Happy Blogging :-)

Friday, November 25, 2011

Konsep Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani

Sidang Pembaca yang budiman,

Ramai yang masih keliru atau masih tercari-cari, apakah konsep sebenar Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani dan bagaimana Sukatan Pejaran tersebut berhubungkait dengan Pendidikan Jasmani di Malaysia. Semua sedia maklum bahawa Pendidikan Jasmani diajarkan secara berbeza mengikut kesesuaian iklim pendidikan sesuatu negara. Oleh itu, di sini saya akan membincangkan seringkas mungkin bagaimana Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani di Malaysia dipraktikkan. Selamat Membaca!

Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani memberikan gambaran menyeluruh tentang kurikulum Pendidikan Jasmani. Sukatan Pelajaran ini merangkumi matlamat, objektif dan Organisasi kandungan merangkumi kemahiran berfikir, nilai-nilai murni, strategi pengajaran dan pembelajaran, penilaian dan kandungan sukatan pelajaran yang membincangkan tiga tunjang pembelajaran iaitu kecergasan, kemahiran dan kesukanan. Sukatan pelajaran juga merupakan satu dokumen yang memberi panduan tentang skop dan kandungan mata pelajaran Pendidikan Jasmani bagi membantu guru-guru merancang pengajaran dan pembelajaran mereka.

Dalam erti kata lain, Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani merupakan platform pertama dalam merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Jasmani dan Kurikulum Pendidikan Jasmani. Kandungan pelajaran yang terdapat did alam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani KBSR menekankan keupayaan dan perkembangan murid yang cergas dan aktif.

Penyusunan kandungan pelajaran Pendidikan Jasmani mengambil kira prinsip-prinsip perkembangan kurikulum itu sendiri. Penyusunan ini merangkumi prinsip pengulangan (repetition), kesepaduan (integration), ansur maju (progression), skop (scope) dan turutan (sequencing).

Prinsip pengulangan menyatakan bahawa ketiga-tiga tunjang adalah berulang dari tahun1 – 6. Manakala dalam kesepaduan pengajaran bagi semua pelajaran perlu mengambil kira konsep bersepadu yang merentasi kurikulum. Dua konsep utamanya ialah “intra” dan “inter”. “intra” ialah komponen utama yang terkandung di dalam Pendidikan Jasmani itu sendiri manakala “inter” pula ialah integrasi dengan pelajaran lain seperti seni dan muzik. Prinsip Ansur maju pula membincangkan susunan sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani yang mengambil kira keutamaan topik bermula dengan yang mudah beransur menjadi kompleks. Penyusunan ini mengambil kira faktor perkembangan murid. Skop pula menggariskan ruang lingkup pengajaran itu boleh berlaku atau disampaikan oleh murid kepada guru. Prinsip turutan pula merupakan faktor yang menyebabkan sesuatu sukatan itu berlaku dalam turutan yang betul dan sentiasa berkesinambungan.

Dalam sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani, terdapat objektif yang dibincangkan mengikut tahun. Objektif ini diulang-ulang aspek kesepaduannya, ansur maju, skop dan turutan. Mengambil objektif am pelajaran bagi tahun 1 hingga 4, objektif am dalam tahun tersebut secara keseluruhannya mensasarkan murid-murid dapat melakukan aktiviti asas yang signifikan dengan perkembangan mereka. Apabila pembentukan kemahiran dan pengetahuan asas ini telah dibentuk maka mudahlah murid-murid tersebut melakukan aksi yang seterusnya yang lebih sukar dan pada tahap yang lebih tinggi. Manakala pada tahun 5, perbezaan dapat dilihat melalui objektif am yang digariskan.

Objektif am tersebut mengkehendaki murid untuk mula mengaplikasikan kemahiran asas yang dipelajari dan dapat menggabungkan dua dan lebih kemahiran dalam satu-satu masa. Objektif am bagi tahun 6 pula menggariskan satu pencapaian bagi kemahiran asas pada peringkat rendah. Dalam objektif ini, sukatan mensasarkan murid sudah boleh mengaplikasikan semua kemahiran permainan, olahraga dan gimnastik dengan betul dan selamat. Penekanan aspek sosial dan pergaulan turut ingin dicapai termasuklah pengetahuan terhadap nilai dan peraturan dalam masyarakat.
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka

Pengenalan : Definisi dan Konsep Pendidikan Jasmani

Pendidikan melalui jasmani di mana banyak daripada objektif pendidikan dicapai menerusi aktiviti-aktiviti jasmani yang melibatkan otot-otot dan sendi. Ia merupakan program kegiatan fizikal yang berpusatkan sekolah di mana kemahiran dalam sukan, tarian dan latihan lazimnya diajar dan dilatih. Ada pula definisi yang mengatakan pendidikan jasmani meliputi aktiviti-aktiviti tersebut yang bukan berpusatkan sekolah, misalnya yang diadakan oleh pusat komuniti, persatuan belia dan sebagainya. Komponen utamanya adalah aktiviti-aktiviti tertentu yang direka untuk pembelajaran.

Namun secara menyeluruh Pendidikan Jasmani adalah proses pendidikan yang memanfaatkan aktiviti jasmani yang direncanakan secara sistematik bertujuan untuk mengembangkan dan meningkatkan individu secara organik, neuromuskuler, perseptual, kognitif, dan emosional, dalam kerangka sistem pendidikan kebangsaan. Pada dasarnya pendidikan jasmani merupakan bahagian integral dari sistem pendidikan secara keseluruhan. Bertujuan untuk mengembangkan kesihatan, kesegaran jasmani, penampilan berfikir secara kreatif dan kritis, stabiliti emosi, keterampilan dalam bersosial, tindakan dan tingkah laku moral melalui aktiviti jasmani.

Pettior (1999) berpendapat bahawa Pendidikan Jasmani menyediakan kanak-kanak untuk mengamalkan hidup aktif dan sihat dengan menyediakan skop pengalaman-pengalaman pembelajaran yang rapi dan berturutan. Beliau menegaskan bahawa pengalaman tersebut seharusnya dapat meningkatkan pembangunan dan penguasaan kemahiran motor, kecergasan dan pengetahuan berasaskan kesihatan dalam menjadi aktif dan mengapresiasikan faedah aktiviti fizikal.

Pendidikan Jasmani meliputi satu bidang yang sangat luas dan tidak hanya terbatas kepada pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran semata-mata yang diperoleh daripada kegiatan di padang sekolah sahaja. Tetapi boleh dikatakan bahawa kegiatan yang tersusun dan melibatkan usaha jasmani dan mempunyai unsur-unsur pendidikan dapat digolongkan dalam bidang Pendidikan Jasmani.

Fokus Pendidikan Jasmani tidak hanya tertumpu pada aktiviti fizikal tanpa melibatkan sebarang penglibatan emosi dan sosial. Dalam memenuhi perkembangan naluri kanak-kanak yang suka dengan keseronokan maka pendekatan permainan yang dikembangkan oleh Bunker and Thorpe (1982) meletakkan murid berada dalam situasi permainan yang sebenar yang mana taktik, membuat keputusan, penyelesaian masalah dan kemahiran turut dikembangkan dalam masa yang sama. Banyak kajian yang berkaitan turut dikembangkan antaranya ialah ‘Game Sense’ (den Duyn, 1997), ‘Games for Understanding’ (Bunker & Thorpe, 1982), ‘Play Practice’ (Launder, 2001) dan ‘Games Concept Approach’ (Wright, Fry, McNeil, Tan, Tan & Schemp, 2001, cited in Light 2003).

Oleh itu, Pendidikan Jasmani seharusnya membekalkan ruang untuk membentuk “kanak-kanak” yang mantap secara menyeluruh (whole child) yang mengambil kira pembangunan aspek-aspek psikomotor, kognitif dan afektif.
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka

Pengenalan : Konsep Pendidikan Jasmani berdasarkan Sukatan Pelajaran

PENGENALAN
Kurikulum Pendidikan Jasmani digubal untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu mencapai

matlamat dan objektif Pendidikan Jasmani.

Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan, kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan Pendidikan Jasmani bagi membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Kurikulum Pendidikan Jasmani yang terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan potensi murid ke tahap optimum.

MATLAMAT
Pendidikan Jasmani bertujuan membantu murid menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.

OBJEKTIF

Murid boleh :

  1. mempertingkatkan dan mengekalkan kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor;
  2. menguasai kemahiran asas pergerakan dan permainan mengikut kemampuan diri;
  3. melakukan senaman dan aktiviti fizikal sebagai rutin harian;
  4. mengaplikasikan pengetahuan kesihatan dan keselamatan semasa menyertai pelbagai kegiatan fizikal;
  5. membentuk sahsiah dan disiplin diri; dan membuat keputusan bijak dalam kehidupan.


Nota Kaki :

Secara kesimpulannya, mengikut Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani, PJ terbahagi kepada 3 Tunjang utama.

  1. Tunjang Kecergasan
  2. Tunjang Kemahiran
  3. Tunjang Kesukanan
Kalau tak nak Komen, Sila la LIKE kalau suka